Jodoh atau ajal?



Assalamualaikum. Harini nak cerita sikit mengenai luahan hati tentang jodoh dan ajal. Bila cerita pasal jodoh, mesti semua orang tersengih-sengih. Sebab semua manusia mengimpikan perkara yang indah-indah seperti memiliki pasangan. Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 21:

Surah Ar-Rum  Ayat 21:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. {30:21}


Allah memang sudah menulis dari awal lagi siapakah jodoh kita. Kerana itu memang tanda kekuasaanNya yang menciptakan manusia itu hidup berpasang-pasangan. Tetapi, jangan lupa, Allah juga telah menulis dari awal lagi bilakah ajal kita. Firman Allah dalam Surah Ali' Imran ayat 185:

Surah Ali 'Imran  Ayat 185:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ النَّارِ وَأُدْخِلَ الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلَّا مَتَاعُ الْغُرُورِ

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. {3:185}


Dalam firman Allah di atas, ada menerangkan bahawa mati itu pasti. Dunia ini hanyalah tipu daya bagi orang yang melupakan Allah, kerana nikmatnya yang nampak indah-indah. Akhirat merupakan destinasi terakhir kita, disitu kita akan dihisab dengan amalan kita semasa di dunia.

Berbalik pada jodoh dan ajal, andai kata jodoh datang dulu sebelum ajal, seseorang itu mungkin telah dapat merasakan nikmat jodoh dan cinta yang Allah telah berikan, jadi bersyukurlah. Sebab ada juga manusia yang ajalnya sampai dulu sebelum jodoh. Itu juga semua tanda kekuasaan Allah untuk kita berfikir dan sentiasa mengingati kematian dan beramal kepadaNya.

Pernah tak jodoh anda datang sekerat jalan? Mesti pernah dan ada yang mengalaminya. Seperti aku juga selalu mengalami jodoh yang datang sekerat jalan, bukan sekali, tetapi berkali-kali dari bermacam kaum adam sampai sudah tak merasakan apa-apa. Iya, kenapa tak rasa apa? Sebab kalau kita letak pengharapan kepada Allah, insyaAllah hati ini tidak rasa sakit. Jodoh datang sekerat jalan pun sebab sifatnya hati manusia ini berbolak-balik. Kita tak boleh nak salahkan manusia, sebab hati ini tidak pernah tetap kecuali pemilik hati yang berkuasa iaitu Allah S.W.T. Sebab itu lah, kita kena sentiasa berdoa supaya Allah tetapkan hati dalam agama Islam. 


يامقلب القلوب ثبت قلبي على دينك
'Yaa Muqallibal Quluub, Tsabbit Qalbi ‘Ala Diinik'

Artinya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkan hati kami di atas agama-Mu”.


Sentiasa amalkan doa di atas, sebab kita tidak tahu bilakah ajal kita akan menjemput kita. Sebab ajal tak pernah datang sekerat jalan. Dan ia bukan datang berkali-kali, tetapi sekali. Ya, setelah ajal, tiada lagi peluang untuk kembali hidup di dunia. Waktu selepas ajal ini lah kita akan singgah sementara di dalam kubur. Samaada kita tenang atau diseksa semasa di kubur, itu semua bergantung kepada amalan kita di dunia. Jadi, sentiasa amalkan bacaan surah Al-Mulk setiap malam sebelum tidur. Kerana surah Al-Mulk banyak menerangkan tentang kematian dan akhirat yang membuat kita mengingati kematian dan akhirat. Firman Allah dalam Surah Al-Mulk ayat 2:

Surah Al-Mulk  Ayat 2:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); {67:2}


Maksud ayat di atas menerangkan bahawa Allah Maha Menerima Taubat. Syurga juga disediakan untuk orang-orang yang bertaubat. Janganlah tangguhkan taubat anda, sebab anda rasa banyak berdosa. Rasa berdosa, tidak layak bertaubat. Sebab Allah tak pernah kata syurga hanya untuk orang yang tak pernah buat dosa. Sentiasa letak pengharapan kepada Allah dan bersangka baik kepadaNya. Selain itu, amalkan bacaan Surah Al-Waqi'ah juga setiap malam sebelum tidur, kerana dalam surah Al-Waqi'ah banyak menerangkan tentang hari kiamat dan hisab. Firman Allah dalam Surah Al-Waqi'ah Ayat 8, 9 dan 10:

Surah Al-Waqi'ah  Ayat 8:

فَأَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَيْمَنَةِ

Iaitu puak pihak kanan; alangkah bahagianya keadaan puak pihak kanan itu? {56:8}


Surah Al-Waqi'ah  Ayat 9:

وَأَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ مَا أَصْحَابُ الْمَشْأَمَةِ

Dan puak pihak kiri; – alangkah seksanya keadaan puak pihak kiri itu? {56:9}


Surah Al-Waqi'ah  Ayat 10:

وَالسَّابِقُونَ السَّابِقُونَ

Dan (puak yang ketiga pula ialah) orang-orang yang telah mendahului (dalam mengerjakan kebaikan di dunia), – yang akan mendahului (mencapai balasan yang sebaik-baiknya di akhirat kelak); {56:10}


Demikian keterangan dalam surah Al-Waqi'ah, dimana di akhirat nanti kita akan menerima buku amalan kita. Apabila malaikat memberikan buku amalan dengan tangan kanan, berbahagialah kita, manakala tangan kiri, bersedialah untuk menerima seksaan nerakanya. Di akhirat nanti, hanya nabi kita, Muhammad S.A.W yang akan memberi syafaat kepada umatnya. Nabi Muhammad S.A.W akan menolong umatnya yang mengingati baginda semasa hidup. 

"Ya Allah, Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang telah engkau janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam kedudukan yang tinggi dan terpuji, yang telah engkau telah janjikan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."

Bacalah doa selepas azan, dan sentiasalah berselawat ke atas nabi Muhammad S.A.W. Dan amalkan juga Surah Al-Kahfi untuk mengelak dari fitnah dajjal. Surah Al-Kahfi banyak menerangkan tentang kekuasaan Allah mengenai perjalanan menuju hari kiamat dan tanda-tanda kekuasaan Allah. Dalam surah ini juga menerangkan tentang janganlah kita menjadi bongkak dalam beribadah. Kerana dajjal ini juga bersifat bongkak, dan merasakan dirinya paling mulia. Firman Allah dalam Surah Al-Kahfi ayat 104 dan 105:

Surah Al-Kahfi  Ayat 104:

الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا

(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. {18:104}


Surah Al-Kahfi  Ayat 105:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِ رَبِّهِمْ وَلِقَائِهِ فَحَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فَلَا نُقِيمُ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَزْنًا

Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. {18:105}


Jelas menerangkan yang Allah melarang kita merasa riak dalam beribadah. Jangan sekali-kali timbul rasa mulia dalam diri sehingga menghina manusia lain. Kerana tanda penyakit hati ialah merasa diri itu lebih mulia dari orang lain. 

Sekian perkongsian pada hari ini. Semoga pembaca sekalian mendapat kebaikan dari bacaan ini. Segala kebaikan itu datangnya dari Allah, manakala segala keburukan itu datang dari diri ku sendiri.


Semoga kita dimatikan dalam keadaan khusnol khatimah,
Fiqa Nsz.

No comments:

Post a Comment